Mengemudi Laman Ranjau Digital: Membongkar Penipuan Iklan dan Aplikasi Palsu
Dalam lanskap digital yang sentiasa berkembang, pasti ada individu yang akan mudah terperangkap dalam iklan yang tidak benar dan aplikasi palsu. Taktik penipuan ini semakin meleluasa dan penting untuk anda menyedari isu ini serta mendidik diri anda tentang cara untuk kekal selamat dalam talian.
Kewujudan Penipuan Iklan yang Berleluasa
Penipuan iklan, alat yang biasa digunakan scammer, datang dalam pelbagai bentuk seperti iklan umpan klik, pemberian hadiah percuma palsu dan penipuan promosi. Iklan-iklan yang mengelirukan ini sering membawa kepada aplikasi palsu yang memerangkap pengguna dalam jaringan penipuan.
Hubungan Antara Penipuan Iklan dan Aplikasi Palsu
Penipuan iklan dan aplikasi palsu saling berkait kerana scammer menggunakan strategi licik. Mereka memasang iklan-iklan palsu dalam talian yang menyerupai perniagaan sah, dan cuba berhubung dengan anda melalui media sosial atau aplikasi pemesejan. Tujuannya adalah agar anda memuat turun aplikasi yang kelihatan tidak berbahaya melalui dokumen atau pautan yang dilampirkan, tetapi sebenarnya aplikasi tersebut adalah aplikasi palsu (melalui Kit Pakej Android atau fail .APK).
Anatomi Penipuan Paling Tular
Berikut adalah cara penipuan paling tular yang pernah berlaku:
- Scammer akan menyamar sebagai satu entiti perniagaan akan menjerat anda dengan pelbagai tawaran merangkumi perkhidmatan pembersihan murah sehinggalah promosi perayaan dan tawaran perjalanan yang menarik.
- Mereka memulakan perbualan dengan anda melalui media sosial atau aplikasi pemesejan yang akan mewujudkan rasa percaya dalam diri anda. Namun, itu hanyalah muslihat.
- Kemudian, mereka meyakinkan anda untuk memuat turun aplikasi melalui dokumen atau pautan yang dilampirkan. Ia akan membawa kepada pemasangan aplikasi palsu di dalam peranti anda.
- Setelah memuat turun aplikasi palsu, anda mungkin tanpa sengaja mengetik 'Allow' / 'Benarkan' pada kotak timbul (pop-up), lalu memberikan kebenaran kepada aplikasi itu untuk melihat dan menghantar mesej. Ini membolehkan scammer mencuri SMS anda, termasuk Kod Kebenaran Transaksi (TAC) / Kata Laluan Sekali (OTP), kod keselamatan transaksi, atau kod pengesahan anda.
- Aplikasi palsu tersebut juga boleh mengarahkan anda untuk beralih ke halaman pembayaran palsu. Ianya dapat menghantar terus nama pengguna dan kata laluan anda kepada scammer.
- Dengan akses kepada butiran perbankan anda, scammer berkemungkinan mengosongkan akaun bank anda, walaupun mereka mungkin menangguhkan seketika tindakan sedemikian untuk mengelakkan kecurigaan.
Melindungi Diri Anda daripada Penipuan Iklan dan Aplikasi Palsu
Dalam dunia di mana scammer sentiasa merancang taktik baharu, adalah penting untuk kita mengetahui cara melindungi diri dan orang tersayang:
- Semak aplikasi di telefon pintar anda dan hapuskan aplikasi yang bukan diperolehi menerusi gedung aplikasi rasmi seperti Google Play Store dan Apple App Store. Aplikasi tersebut mungkin aplikasi palsu yang boleh menjejaskan butiran perbankan anda.
- Kekal berwaspada dengan mengikuti panduan ini:
- JANGAN sesekali memuat turun aplikasi dari sumber yang tidak rasmi.
- JANGAN sesekali klik pada pautan yang dihantar melalui SMS, ruang sembang, atau e-mel tanpa mengesahkan keasliannya.
- JANGAN daftar masuk ke akaun sensitif jika anda tidak dapat melihat imej dan/atau frasa keselamatan anda.
- Jika anda mengesyaki bahawa anda telah menjadi mangsa penipuan, anda boleh menggunakan ciri Melumpuh Capaian e-Perbankan (Disable e-Banking Access) atau istilah globalnya, "Kill Switch". Ia merupakan ciri keselamatan yang berharga untuk menyahaktifkan akses anda terhadap akaun perbankan anda di dalam aplikasi buat sementara waktu. Ini secara langsung akan log keluar dari semua sesi aktif, menghalang percubaan log masuk yang lebih lanjut dan melindungi akaun anda. Sebarang transaksi berbentuk pemindahan dana seperti DuitNow, baik debit mahupun kredit, akan disekat.
Penipuan iklan dan aplikasi palsu menimbulkan ancaman besar dalam dunia digital. Kita boleh mencipta persekitaran dalam talian yang lebih selamat dengan memahami cara mereka beroperasi dan mengambil langkah proaktif untuk melindungi diri kita. Kongsi tips ini dengan rakan dan keluarga anda bagi memastikan kesedaran kepada lebih ramai orang terhadap ancaman ini supaya langkah berjaga-jaga boleh diambil.
Dengan berbekalkan pengetahuan dan kekal berwaspada, kita boleh mengukuhkan benteng pertahanan ketika berhadapan dengan dunia digital.
Adakah artikel ini membantu?
Adakah Anda Tidak Menemui Apa yang Anda Cari?
Hantarkan soalan anda kepada kami, dan kami akan berusaha menyelesaikannya.
Hantarkan soalan anda