Perisian Hasad: Penceroboh Licik
Dalam landskap digital yang luas, perisian hasad (malware) merupakan sebuah ancaman senyap yang akan menyusup masuk ke dalam peranti anda dan menyebabkan kemusnahan kepada peranti digital anda. Tetapi apakah sebenarnya perisian hasad (malware) ini, dan bagaimanakah cara ia berfungsi?
Apakah Perisian Hasad (Malware)?
Perisian Hasad (Malware) adalah nama kolektif untuk semua jenis perisian jahat dan berbahaya. Seperti virus licik, perisian hasad menceroboh masuk ke dalam komputer anda tanpa kebenaran anda melalui beberapa titik masuk seperti e-mel, pautan, atau lampiran. Setelah berada di dalam, ia akan membuat kerosakan, mencuri maklumat peribadi anda, mengganggu operasi peranti anda, dan menjadikan fail penting anda sebagai tebusan.
Bagaimana Perisian Hasad Berfungsi?
Aplikasi yang licik ini sering menyamar sebagai aplikasi yang tidak berbahaya, dan mereka mempunyai beberapa helah di sebalik layar mereka:
- Mereka boleh muncul dalam ruang sembang, pautan, atau lampiran e-mel. Berwaspadalah!
- Setelah menyusup masuk ke dalam peranti anda, mereka meminta kebenaran untuk mengurus fungsi SMS anda.
- Jika anda memberikan kebenaran tanpa pertimbangan yang teliti, mereka akan mengakses mesej SMS anda, termasuk kod TAC atau OTP yang selalunya bertindak sebagai bukti kelayakan penting terhadap maklumat perbankan anda.
Apa yang Perlu Dilakukan Jika Anda Menjadi Mangsa Perisian Hasad?
Jika anda dengan tidak sengaja memberikan kebenaran kepada aplikasi yang mencurigakan dan mengesyaki maklumat perbankan anda telah digunakan, ambil tindakan segera:
- Nyahpasang aplikasi yang mencurigakan:
Jangan beri peluang kepada mereka untuk membuat kerosakan selanjutnya.
- Tukar kata laluan perbankan anda:
Tetapkan semula kata laluan perbankan anda untuk membina halangan baharu terhadap akses tanpa kebenaran tersebut.
- Laporkan urus niaga yang mencurigakan:
Maklumkan kepada bank anda tentang sebarang aktiviti luar biasa dalam akaun anda.
Keselamatan Didahulukan!
Untuk kekal selamat dalam dunia digital, berikut adalah beberapa kaedah mesra yang boleh digunakan:
- Sentiasa semak semula laman web dan aplikasi sebelum berkongsi maklumat peribadi.
- Untuk meningkatkan tahap keselamatan, cari imej keselamatan dan frasa daftar masuk pilihan anda.
- Jangan letak kepercayaan anda terhadap laman sesawang atau aplikasi yang tidak dikenali. Jangan sesekali mengisi ruang dalam laman sesawang atau aplikasi tersebut dengan butiran daftar masuk anda. Lebih baik berjaga-jaga daripada rugi kelak hari!
Mengesan Perisian Hasad dalam Telefon Pintar Anda
Berwaspadalah dengan tanda-tanda yang menunjukkan kemungkinan perisian hasad sedang merayap di dalam telefon pintar anda:
- Pengurangan Tenaga Bateri Dengan Pantas:
Perisian hasad terkenal dengan penggunaan tenaga yang tinggi, menghabiskan hayat bateri anda dengan cepat.
- Iklan Kotak Timbul (Pop-up) dan Pemasangan Aplikasi:
Perisian hasad sering memuat naik iklan yang tidak diingini dan cuba memasang aplikasi lain yang mencurigakan tanpa kebenaran anda.
- Isu Antivirus:
Perisian hasad boleh melumpuhkan perisian antivirus anda, membiarkan peranti anda terdedah kepada serangan selanjutnya.
- Lonjakan Penggunaan Data Internet Tanpa Dijangka:
Semak bil telefon anda untuk perhati sekiranya terdapat penggunaan data yang tidak dapat dijelaskan kerana perisian hasad boleh menggunakan data yang berlebihan di sebalik tabir penggunaan gajet anda.
- Prestasi yang Perlahan:
Perisian hasad akan membebani prestasi telefon pintar anda, menjadikannya perlahan dan tidak responsif.
- Merosakkan Penggunaan Aplikasi:
Kerosakan aplikasi yang tidak dijangka menunjukkan bahawa perisian hasad sedang mengganggu fungsi normal aplikasi anda.
- Gangguan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dan Panggilan:
Perisian hasad akan menghalang atau mengalihkan mesej SMS dan panggilan telefon anda bagi menghalang keupayaan anda untuk berkomunikasi secara efektif.
Melindungi Diri Daripada Perisian Hasad
Jangan biarkan perisian hasad menjadikan telefon pintar anda sebagai taman permainan. Ikuti kaedah mudah tetapi berkesan ini untuk menjaga keselamatan peranti anda:
- Perlindungan Antivirus:
Pastikan pemasangan dan penyelenggaraan aplikasi antivirus yang berjenama dan mempunyai reputasi untuk melindungi peranti anda daripada serangan perisian hasad.
- Berhati-hati Semasa Memuat Turun:
Amalkanlah tindakan yang bijak semasa memuat turun aplikasi. Dapatkan aplikasi hanya daripada sumber yang dipercayai, seperti gedung aplikasi rasmi.
- Kemas Kini Secara Berkala:
Lakukan rutin mengemaskini sistem operasi telefon pintar secara berkala, termasuklah sistem operasi aplikasi, dan perisian keselamatan telefon pintar anda untuk menangani sebarang serangan dan menyelesaikan sebarang situasi rentan serta mempertahankan diri daripada kemunculan ancaman yang baharu.
- Melayar dengan Selamat:
Amalkan langkah berjaga-jaga semasa melayari laman sesawang dengan mengakses laman web yang dipercayai dan mengelakkan daripada mengklik pautan atau lampiran yang meragukan dalam e-mel atau mesej.
- Kekal Waspada:
Jangan buka e-mel atau mesej spam, dan sentiasa semak kesahihan laman sesawang sebelum memasukkan sebarang maklumat peribadi.
- Kekal Termaklum:
Kekalkan pengetahuan terkini mengenai ancaman dan amaran keselamatan terbaharu agar sentiasa di hadapan pencipta perisian hasad yang sentiasa berkembang.
Seiring dengan kemajuan teknologi, taktik pencipta perisian hasad juga turut berkembang. Dengan memahami cara perisian hasad berfungsi dan melaksanakan langkah keselamatan yang proaktif, anda dapat melindungi diri dan peranti anda daripada perkara yang memudaratkan. Sentiasa berwaspada, berhati-hati semasa melayari atau memuat turun kandungan, kemaskini perisian anda dan belanjalah sedikit wang untuk perlindungan antivirus yang berkualiti. Dengan langkah berjaga-jaga ini, anda dapat menjalani landskap digital dengan yakin, mengelakkan diri daripada perisian hasad dan melindungi aset digital serta maklumat peribadi anda.
Adakah artikel ini membantu?
Adakah Anda Tidak Menemui Apa yang Anda Cari?
Hantarkan soalan anda kepada kami, dan kami akan berusaha menyelesaikannya.
Hantarkan soalan anda